Saturday, April 30, 2016

Budaya belajar

Posted on 8:37:00 PM by Chris Avilla

Salam sejahtera diucapkan kepada semua pembaca blog Sekolah Kebangsaan Nanga Pakan, Julau. Saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan selamat hari pekerja kepada semua semoga hari ini menjadi lebih produktif dengan aktiviti yang santai bersama insan yang tersayang.

Berhujung minggu ataupun menyambut hari perayaan sangat sinonim dengan waktu cuti. Acapkali kita dengar dari warga pendidik khususnya tentang pengalaman bercuti tetapi kerja dibawa balik ke rumah. Ini sudah menjadi lumrah kepada kebanyakkan cikgu kerana tanggungjawab di sekolah tidak semestinya dapat diselesaikan di dalam pejabat.

Begitu juga dengan murid. Kita sebagai warga pendidik berharap agar pendidikan mereka tidak sahaja berlaku di sekolah tetapi di rumah juga. Budaya belajar yang kita terapkan boleh diaplikasikan di luar kawasan sekolah terutamanya di peringkat institusi kekeluargaan. Mungkin ramai yang berpendapat 80 peratus pengetahuan murid-murid diperoleh di sekolah sedangkan lebih banyak masa yang mereka luangkan adalah bersama keluarga terutamanya pada musim cuti sekolah. Maklumat ini agak berbeza untuk murid yang bermalam di asrama kerana mereka bergantung kepada komuniti di sekolah untuk memperoleh pengalaman dan pengetahuan kerana mereka berada di kawasan sekolah lebih banyak berbanding di rumah.

Namun harus kita ingat bahawa budaya belajar yang diterapkan bukan hanya diamalkan di dalam sekolah semata-mata tetapi ia harus melibatkan ibu bapa ataupun penjaga bagi memurnikan ilmu yang murid-murid kita peroleh.

Budaya belajar di rumah sangat mudah untuk diaplikasikan dan diamalkan. Hanya dengan meluangkan masa duduk bersama dengan anak-anak ataupun murid-murid sambil menonton tv dan melayan ratusan soalan yang mereka tanya dapat menjana pemikiran mereka. Bersoal jawab semasa menonton tv merupakan satu proses pembelajaran dan perkongsian ilmu yang paling mudah dan mesra tambahan pula ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Mungkin ada ibu bapa ataupun penjaga membawa anak mereka pergi ke kebun ataupun melancong semasa bercuti. Pengalaman semasa melalui hari-hari yang indah itu merupakan satu proses belajar juga. Bukan keseronokkan ataupun pengalaman semata-mata boleh kita beri pada waktu itu tetapi itulah saat yang paling sesuai untuk kita memberi nasihat dan mengajar anak kita erti bersyukur. Kita boleh menjadi guru kepada anak kita sendiri tidak semestinya proses belajar itu berlaku di sekolah.

Kita percaya murid pada zaman kini sentiasa terdedah dengan pelbagai bahan dan sumber. Ia menjadikan proses belajar menjadi semakin mudah dan berkesan. Kita berharap budaya belajar yang diterapkan di peringkat sekolah boleh kita teruskan walaupun anak-anak kita sedang bercuti ataupun berada di luar kawasan sekolah. Supaya kita dapat menghasilkan generasi yang seimbang dari pelbagai aspek. Yang pasti budaya belajar itu hendaklah diamalkan tanpa mengira tempat dan siapa yang mendampingi kita. Sekian.

Nukilan:
aku-lazy.blogspot.com

Suasana di dalam sebuah kelas perdana. Lokasi: SK Ng Pakan. TAHUN 4A. "Terima Kasih Cikgu"

No Response to "Budaya belajar"

Leave A Reply

KLIK KE PPD JULAU

Single System Operation

Catatan Popular