Sunday, November 6, 2022

Lawatan dari IAB



5 Oktober 2022 - SK Nanga Pakan telah menerima lawatan daripada Institut Amaludin Baki Dan rombongan dari pemimpin-pemimpin sekolah di daerah Julau. Lawatan tersebut diadakan untuk melakukan penandaan aras berkaitan dengan Program Transformasi Sekolah 2025 ( TS25 )









Lawatan yang dilakukan kali ini adalah bertujuan untuk berkongsi pandangan dan juga strategi kepada sekolah sekitar daerah Julau yang baru sahaja diperkenalkan dengan Program TS25. SK Nanga Pakan Bersedia untuk berkongsi idea dan pengalaman yang telah dilalui apabila pertama kalinya menjalankan Program TS25 di daerah Julau pada 2018.

Kita percaya bahawa setiap sekolah memiliki kelebihan dan keunikan nya yang tersendiri, tidak semua yang dikongsikan dapat diaplikasikan oleh sesetengah sekolah kerana ada sekolah memiliki kekurangan dari segi infrastruktur dan sumber. Pada akhirnya kita menggalakkan pemimpin dari setiap sekolah untuk berfikir secara kreatif dalam memanfaatkan setiap peluang yang ada di sekitar sekolah dalam mencapai status Sekolah TS25. Sekian. 

Throwback Persediaan Majlis Makan Malam



Salam sejahtera diucapkan kepada semua yang singgah seketika di dalam penulisan kali ini. SK Nanga Pakan baru sahaja berjaya mengadakan majlis makan malam PIBG yang diadakan di dewan masyarakat Pakan. Majlis makan malam sebegini merupakan salah satu cara untuk pihak sekolah serta PIBG mencari dana yang bakal digunakan oleh anak-anak di sekolah bagi meneruskan pendidikan yang berkualiti. 

Di sebalik kejayaan ini adanya kisah-kisah yang menarik. Kali ini kami ingin kongsikan beberapa keping gambar persediaan untuk majlis makan malam tersebut. 



Gambar yang pertama ini menunjukkan antara Cenderahati yang dipilih untuk dijadikan hadiah kepada VVIP. Cenderahati ini dipilih di kedai yang menjual Alatan tradisi di bandar Sibu. 



Kelihatan beberapa orang guru dibantu oleh AKP sedang membuat persediaan untuk pentas majlis makan malam. 



Antara hamper yang telah disumbangkan oleh rakan-rakan guru berserta AKP untuk aktiviti cabutan bertuah. 



Kelihatan beberapa orang murid tahun enam sedang membantu guru mereka menyediakan banner untuk hiasan pentas. 



Kelihatan dua orang guru sedang berdiri di hadapan foto booth yang telah siap untuk majlis makan malam. 

Terima kasih cikgu Minggat & cikgu Andy





Setelah tiga bulan menjalankan program praktikum yang merupakan program wajib bagi mana-mana bakal guru yang ingin lulus dalam program pendidikan perguruan, pihak sekolah dengan rasa berat hati ingin mengucapkan terima kasih dan selamat berjumpa lagi kepada dua orang guru pelatih yang telah menjalankan program praktikum dengan penuh dedikasi dan komited. 

Terima kasih cikgu Andy dan cikgu Minggat kerana telah meluangkan masa serta menimba ilmu di SK Nanga Pakan. Semoga pengalaman yang telah diperoleh di sini menjadi senjata untuk terus maju dan mengekalkan momentum untuk menjadi seorang pendidik yang berkualiti. Sekian. 

Persediaan Karnival TS25












SK Nanga Pakan merupakan antara sekolah yang terpilih untuk menyediakan satu sudut khas atau dikenali sebagai Booth dalam bahasa Inggerisnya sempena katnivak TS25 peringkat negeri Sarawak. Semua guru yang terlibat telah bertungkus-lumus menyediakan bahan-bahan pameran serta melatih beberapa orang murid untuk melengkapkan lagi pameran yang akan dijalankan di SK St. Alfonsus kelak. Kita mendoakan agar semua sekolah yang terlibat kelak dapat memberikan yang terbaik. Sekian. 

Karnival TS25 Peringkat Negeri Sarawak




Karnival Transformasi sekolah 2025 peringkat negeri Sarawak akan diadakan di SK St. Alfonsus, Julau. Program ini merupakan satu satunya program yang julung kali nya diadakan di daerah Julau. Tahniah diucapkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Julau dan juga sekolah kebangsaan Saint Alfonsus kerana diberikan amanah untuk menganjurkan Karnival yang berprestij ini. 

SK Nanga Pakan Telah terpilih untuk menjadi penyumbang dalam membuka satu ruangan has untuk mempamerkan pelbagai jenis bahan pameran yang berkaitan dengan proses pembelajaran dan juga transformasi sekolah. 


Dengan ini kita menjemput semua masyarakat, khasnya ibu bapa serta penjaga untuk datang menjenguk program peringkat negeri Sarawak ini yang bakal diadakan di SK St. Alfonsus, Julau. 

Saturday, October 29, 2022

Hadir di Konvensyen Kabangsaan TS25 di Pulau Pinang

26 Oktober 2022 - Satu konvensyen kebangsaan bertemakan Program Transformasi Sekolah 2025 telah diadakan di Hotel Ixora di Pulau Pinang. Konvensyen ini merupakan yang ke-3 diadakan sejak TS25 ( Program Transformasi Sekolah 2025 ) diadakan. 

Pn. Bernadine anak Patrick Unyat telah terpilih bersama dengan rombongan JPNS dan PPD yang mewakili Sarawak untuk hadir bersama di majlis tersebut.

Banyak perkongsian dan input berkenaan TS25 telah dihayati sepanjang program berkenaan. Semoga program sebegini terus dijalankan bagi follow up perkembangan TS25 yang giat dijalankan di seluruh Malaysia.

Thursday, October 27, 2022

Penataran Modul STEM peringkat Sarawak







SK Nanga Pakan Merupakan antara sekolah di dalam daerah Julau yang bertuah kerana telah terpilih untuk menghantar seorang wakil bagi menyertai Penataran modul STEM peringkat negeri Sarawak. SK Nanga Pakan telah diwakili oleh Cikgu Chris ( KP. Sains & GMP RBT ). 

Chris:
Sepanjang tiga hari berkursus di SMK Bandar Sibu, banyak perkara baharu yang telah diperoleh. Kita harus memperkasa kan STEM di peringkat sekolah dengan mengaplikasikan modul yang telah diberikan. Modul ini hendaklah dilaksanakan semasa mata pelajaran Sains dan disokong kuat oleh mata pelajaran matematik serta RBT. 

Murid-murid yang mampu menguasai kemahiran serta ilmu berkaitan dengan STEM Akan memiliki peluang yang lebih cerah di masa hadapan terutamanya dari aspek peluang kerjaya. 

Ilmu STEM ini juga amat mementingkan isu sejagat terutamanya berkaitan dengan kemampanan alam sekitar. Pemanasan global serta sumber bumi yang kian terhad merupakan antara isu yang ingin di titik beratkan di kalangan murid-murid supaya mereka dapat mencipta serta memikirkan kaedah yang lebih mesra alam dalam setiap projek melalui modul yang telah diperkenalkan.

Saya berharap para guru dan juga murid-murid menjadi lebih peka terhadap STEM. Kerana ia merupakan sesuatu yang sangat penting untuk menjamin masa hadapan dunia. Kita di peringkat sekolah merupakan kilang kepada sumber tenaga manusia yang berkualiti serta mesra alam. Sekian. 

Lawatan ke SK Ng Meluan



SK Nanga Pakan telah diwakili oleh lima orang pegawai yang diketuai oleh penolong kanan Kokurikulum En. Azri bin Mahidi untuk menghadiri program berkaitan dengan TS25 Yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Ng. Meluan, Julau.

Hasil daripada lawatan ini, ke semua pegawai bersetuju bahawa transformasi yang berlaku di peringkat daerah dan juga sekolah harus diteruskan kerana ia sememangnya membawa kesan yang sangat positif dalam membangunkan modal insan di peringkat sekolah. 

Terdapat banyak juga perkara yang baharu dipelajari semasa lawatan dijalankan. Perkara-perkara tersebut boleh diimplementasikan menurut kesesuaian sekolah. Sekian. 

Pertandingan Mewarna anjuran BSN

27 Nov - Kerja sama dengan pihak bank merupakan antara perkara yang digalakkan. Kerja sama yang dimaksudkan adalah dari aspek program serta kepelbagaian aktiviti Yang memberi kesedaran dalam budaya serta amalan menabung. Pendidikan yang menyeronokkan serta memiliki unsur keusahawan nan juga merupakan perkara yang harus diterapkan dalam sekolah.

Pihak BSN Cawangan Sarikei telah menjalankan pertandingan mewarna Yang melibatkan 50 orang murid dari SK Nanga Pakan yang terpilih serta murid-murid dari sekolah yang lain. 





Ibu bapa dan penjaga juga turut terlibat secara tidak langsung dalam membimbing dan menyaksikn sendiri aktiviti yang menarik ini.















Tahniah diucapkan kepada pemenang dalam pertandingan melukis yang telah di anjurkan oleh Bank Simpanan Nasional cawangan Sarikei. Kita berharap lebih banyak program sebegini dijalankan di masa yang akan datang. Pendidikan yang menyeronokkan merupakan satu daripada tunjang yang diperjuangkan dalam TS25 di peringkat SK Nanga Pakan. Sekian. 

Lawatan dari PPS

27 Nov- Terima kasih diucapkan kepada pihak pegawai perhubungan sekolah yang telah melawat SK Nanga Pakan. Rutin lawatan Yang dilakukan merupakan sebahagian daripada usaha dalam memantau serta mengekalkan kerja sama yang baik dalam menjaga keharmonian serta ketentraman bersama komuniti sekolah.



Kelihatan PK-1 sedang berdiri bersama dengan 2 pegawai Polis yang melawat sekolah. 

Sunday, October 16, 2022

Tahniah GB SK Nanga Pakan dengan jayanya melaksana PAT bimbingan dan permentoran peringkat Kebangsaan




Tahniah diucapkan kepada Pn. Bernadine anak Patrick Unyat guru besar SK Ng Pakan, Julau kerana telah menjalankan perkongsian amalan terbaik peringkat kebangsaan yang bertajuk bimbingan dan pementoran.

Pihak JPNS dengan kerjasama PPD Julau telah memilih beliau untuk menjadi penceramah secara online untuk berkongsi kan pengalaman serta strategi berkaitan dengan bimbingan dan pementoran.

Pengalaman dan pencapaian beliau yang amat memberangsangkan dalam membentuk sebuah sekolah TS25 di peringkat luar bandar telah menarik perhatian ramai pihak terutamanya dari JPNS. Seperti yang sering beliau sendiri katakan “kami cumalah sebuah sekolah yang kecil dan banyak lagi yang perlu kami perbaiki, mungkin strategy dan momentum yang ada pada kami ini yang menyebabkan saya dijemput untuk menjalankan perkongsian yang menari ini” beliau juga mengatakan bahawa strategi yang dikongsikan, bukanlah 100% sempurna dan bergantung dengan situasi sekolah masing-masing untuk mengamalkan serta mengubahsuai kaedah bersesuaian dengan prasarana serta potensi yang ada.



Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur yang telah berjaya mengumpulkan banyak pemimpin peringkat sekolah dalam program berkenaan. Diharap perkongsian yang telah dikongsikan sedikit sebanyak dapat membuka minda serta menjadi sebahagian daripada idea dalam membantu membangunkan sekolah masing-masing. 

DCS 2022 berjalan lancar

DCS - Standard Kompetensi Digital (Digital Competency Standards - DCS), yang bertujuan untuk menilai tahap kompetensi digital murid  dalam domain kognitif,  teknologi dan etika telah dibangunkan dan dirintis di 24 sekolah terpilih pada tahun 2015.  Instrumen penilaian DCS dalam bentuk gamifikasi (gamification) telah ditambah baik berdasarkan hasil kajian rintis tersebut. Pada tahun ini, 3,000 sekolah terlibat dalam pelaksanaan Fasa 1 Standard Kompetensi Digital (Digital Competency Standards - DCS).










SK Nanga Pakan, Julau menjalankan DCS secara berperingkat dan bergilir. Murid-murid yang memiliki akses internet menggunakan telefon peribadi boleh menjalankan aktiviti ini di rumah. Manakala murid-murid yang kurang berkemampuan akan menggunakan kemudahan komputer yang dibekalkan oleh pihak sekolah. 

Sekolah ini sentiasa mencapai 100% penglibatan sejak program ini diperkenalkan. Sekian. 

Thursday, August 18, 2022

Sesi perkongsian laluan cemerlang JPNS 2022

📣 *JEMPUTAN SESI PERKONGSIAN LALUAN CEMERLANG JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SARAWAK TAHUN 2022*

📌 *22 Ogos 2022 (Isnin)*
🕝 *2.30 - 5.00 petang*
🖥 Secara dalam talian (sila rujuk pautan _Google Meet_ di banner)

Sukacita semua warga pendidik di organisasi/institusi/sekolah dijemput menyertai program Sesi Perkongsian Laluan Cemerlang Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Tahun 2022 yang bertujuan memberi pendedahan tentang laluan cemerlang serta proses penilaian laluan cemerlang bagi memberi kefahaman dan menarik minat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) untuk memohon sebagai *Pengetua Cemerlang, Guru Cemerlang atau Pensyarah Cemerlang*. Pendaftaran program boleh dibuat melalui QR code atau pautan https://bit.ly/laluancemerlang22.

Antara pengisan program:
1. Amanat oleh Pengarah Pendidikan Sarawak
2. Taklimat oleh Dr. Aini Neesa bt Salim, Bahagian Profesionalisme Guru
3. Taklimat oleh Encik Jaya bin Pala , Jemaah Nazir Negeri Sarawak
4. Sesi soal jawab

🎯 Marilah kita sama-sama menyertai program ini secara beramai-ramai.


Sunday, August 14, 2022

Gambar lama: Pembinaan Makmal dan kelas

Projek IBS- Salam transformasi dan salam sejahtera diucapkan kepada semua yang membaca blog Sekolah Kebangsaan Nanga Pakan. Terdapat banyak perubahan yang telah berlaku di sekolah ini, antaranya adalah perubahan dari aspek pembangunan infrastruktur. Pihak sekolah amat berterima kasih kepada kerajaan yang telah memberikan banyak pembangunan untuk memenuhi keperluan komuniti di sekolah ini. 

Pihak pengurusan di peringkat sekolah juga tidak pernah putus-putus memikirkan cara untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah ini. Banyak kerjasama dan dialog telah dilaksanakan bersama dengan pelbagai agensi. Sekolah yang menonjol juga merupakan antara faktor kepada pesatnya yang pembangunan yang berlaku. 

Berikut merupakan gambar pembangunan infrastruktur bagi Makmal dan kelas tahap satu yang terletak berhampiran dengan pintu gerbang SK Nanga Pakan. 




















KLIK KE PPD JULAU

Single System Operation

Catatan Popular